Sejarah Pengerang

Map


Pengerang dahulunya adalah salah sebuah kampung di bawah Kota Tinggi. Namun setelah persempadanan semula, ia akhirnya mempunyai satu kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN iaitu Penawar dan Tanjung Surat.

PENAWAR

Menurut cerita penduduk asal, nama Penawar telah diberikan oleh Munsyi Abdullah. Semasa di dalam perlayarannya ke suatu tempat, kapal yang dinaikinya telah dijangkiti oleh wabak penyakit. Wabak itu akhirnya telah menjangkiti semua anak kapal yang akhirnya memaksa Munsyi Abdullah untuk menghentikan pelayaran.

Apabila kapal yang dinaiki berhenti dari belayar, beliau akhirnya sampai di suatu tempat yang penuh dengan pokok-pokok herba. Melihat kepada keadaan itu, anak-anak kapal tersebut telah mengunakan herba-herba yang ada di tempat itu untuk mengubati wabak penyakit yang terkena kepada mereka.

Akhirnya apabila semua anak kapal berjaya di sembuhkan, Musyi Abdullah mengambil keputusan untuk memberikan nama tempat tersebut sebagai Penawar kerana pokok-pokok herba yang ada.

Beberapa orang asli yang di temui di sekitar pekan Penawar turut menegaskan, kawasan hutan di Penawar adalah seperti kedai ubat kerana pokok-pokok herba di kawasan itu sangat sesuai dijadikan ubat-ubatan tradisional.

TANJUNG SURAT

Johor Lama


Kerajaan Johor Lama 400 tahun dahulu telah berpusat di perairan Teluk Sengat dan merupakan tempat bersemayam Sultan. Pada ketika itu, surat adalah merupakan salah satu kaedah yang utama untuk berhubung.

Memandangkan jalan darat belum lagi diterokai sepenuhnya oleh penduduk sekitar, mereka hanya mampu menggunakan jalan laut untuk berhubung di antara satu sama lain. Oleh yang demikian Tanjung Surat adalah merupakan satu pelabuhan yang penting untuk pedagang dan penduduk tempatan.

Ia juga merupakan tempat yang di gunakan oleh pekerja Istana untuk mengirim dan membawa warkah, watikah dan perutusan dari Sultan dan Istana. Lama kelamaan tempat itu akhirnya telah di kenali sebagai Tanjung Surat oleh penduduk kampung.

SEJARAH KOTA TINGGI

Kota Tinggi merupakan salah sebuah daerah yang terdapat di negeri Johor, Malaysia. Bandar Kota Tinggi terletak di muara Sungai Johor. Jarak Kota Tinggi lebih kurang 40 km dari bandaraya Johor Bahru. Keluasan daerah Kota Tinggi ialah 3488.7 kilometer persegi.

Aktiviti ekonomi utama bagi daerah ini ialah perladangan seperti kelapa sawit dan pertanian di samping terdapat kegiatan lain seperti perikanan yang terdapat di pesisiran pantai seperti di Tanjung Sedili. Aktiviti ekonomi yang lain ialah seperti perlombongan dan perniagaan.

Daerah Kota Tinggi terdiri daripada kawasan bandar, perkampungan melayu tradisional serta kawasan rancangan tanah Felda. Terdapat juga penempatan orang Asli di daerah ini. Antara tempat-tempat menarik yang boleh dilawati sekiranya berkunjung ke Kota Tinggi ialah air terjun Kota Tinggi yang terletak lebih kurang 16 km dari bandar Kota Tinggi.

Sekiranya anda menyukai kehijauan hutan, Kota Tinggi juga mempunyai Hutan Lipur Panti. Selain daripada itu, sekiranya ingin melakukan aktiviti pendakian, Gunung Panti dan Gunung Muntahak boleh menjadi medan pertarungan. Pantai-pantai yang indah juga menggamit kehadiran pelancong. Antara pantai yang boleh dilawati seperti Desaru, Tanjung Balau, Batu Layar dan Tanjung Sedili.

Jangan lupa berkunjung ke perkampungan orang asli Kanaq di Kampung Sungai Selangi yang unik di seluruh dunia. Kota Tinggi juga dikenali sebagai sebuah bandar sejarah kerana Kesultanan Johor diasaskan di sini. Terdapat banyak makam sejarah di sini, termasuk Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang (makam sultan terakhir bagi Kesultanan Melaka) dan Makam Tauhid di Kampung Makam.

Makam Laksamana Bentan dan Makam Bendahara Tun Habib Abdul Majid terletak di Kampung Kelantan. Cerita sejarah ini pernah difilemkan pada tahun 1960-an dengan diberikan nama “Dang Anom”. Barisan pelakon yang membintangi filem ini termasuklah Allahyarham Nordin Ahmad sebagai Laksamana Bentan.

Bandar Kota Tinggi pada dirinya tidak begitu menarik, tetapi air terjun yang terletak di Lombong, 15 kilometer di barat laut bandar ini, merupakan destinasi pelancongan yang amat popular. Setinggi 36 meter, air terjun ini terletak di kaki Gunung Muntahak yang mempunyai ketinggian 634 meter.

Air sungai yang dingin mengalir melintasi beberapa kolam yang cetek dan yang ideal untuk berenang. Keindahan semulajadi di beberapa bahagian tempat ini telah dirosakkan oleh pembangunan tempat peranginan dengan seni taman buatan.

Terdapat juga banyak pantai di sepanjang pinggir laut Kota Tinggi. Pantai-pantai paling popular ialah Tanjung Balau, Desaru , Batu Layar dan Tanjung Sedili yang masing-masing terletak 58 km, 55 km, 62 km dan 45 km dari bandar Kota Tinggi.

Chalet-chalet dan hotel-hotel yang menawarkan kadar yang berpatutan boleh didapati dengan mudah di sepanjang pantai.Teluk Sengat yang terletak 25 kilometer di timur bandar Kota Tinggi merupakan kampung makanan laut yang popular di kalangan pelancong, khususnya pelancong-pelancong dari negara Singapura.

PERISTIWA BANJIR BESAR DI KOTA TINGGI

Banjir


Pada akhir tahun 2006 dan awal tahun 2007 iaitu bermula dari 19 Disember 2006 sehingga 16 Januari 2007, Kota Tinggi telah dilanda banjir paling besar dalam sejarahnya. Banjir gelombang pertama pada 19 Disember telah menenggelamkan hampir keseluruhan bandar Kota Tinggi termasuklah bank, kedai-kedai dan kompleks membeli-belah.

Namun banjir gelombang kedua bermula dari 11 Januari 2007 lebih dahsyat kerana menenggelamkan tempat yang tidak ditenggelamkan sebelumnya sehingga hampir menerjah masuk ke Hospital Daerah Kota Tinggi (HDKT).

Ini terjadi berikutan angin monsun Timur Laut yang bertiup dari bulan Oktober hingga Mac menyebabkan hujan lebat telah melanda seluruh negeri Johor selama hampir seminggu sehingga air sungai tidak mampu lagi menampungnya. Hampir 12,000 orang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan yang terpaksa dibuka dua kali kerana banjir telah melanda sebanyak dua kali.

Pusat-pusat pemindahan juga ada yang turut dinaiki air menyebabkan mangsa-mangsa terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan lain. Banjir pada kali ini telah mencatatkan sejarahnya kerana air Sungai Johor telah naik sehingga 5.45 meter berbanding rekod tertinggi yang pernah dicatatkan sebelum ini iaitu 4.9 meter.