PGM rampas rokok kretek RM3.2 juta

30 Jun, Kota Tinggi - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Dua berjaya mematahkan cubaan menyeludup 30,140 karton rokok kretek bernilai RM3.2 juta dalam satu operasi khas malam kelmarin.

Timbalan Komander PGM Wilayah Dua, Supritendan Kalai Chelvan berkata, kesemua rokok kretek itu dirampas setelah pasukannya menahan sebuah bot di kedudukan empat batu nautika dari Pantai Tanjung Balau kira-kira pukul 7.30 petang.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan lima lelaki warga Indonesia berusia antara 27 dan 45 tahun yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

“Semasa anggota menjalankan Ops Octopus, mereka berjaya mengesan sebuah bot berada dalam keadaan mencurigakan dan mengarahkan bot berkenaan untuk berhenti, tetapi mereka melarikan diri.

“Selepas dikejar selama 30 minit, kami berjaya menahan mereka dan menjumpai sejumlah rokok kretek pelbagai jenama. Rampasan ini adalah yang terbesar di Johor tahun ini,” katanya pada sidang akhbar di Pangkalan PGM Pengerang, di sini semalam.

Chelvan berkata, bot sepanjang 14 meter yang menggunakan tiga enjin sangkut jenis Yamaha 200 kuasa kuda setiap satu itu membawa muatan rokok kretek Surya pek 12 batang sebanyak 79,200 karton, Surya pek 16 batang sebanyak 52,198 karton dan Nusantara sebanyak 170,000 karton.

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua rokok yang cuba diseludup ini dibawa dari Batam, Indonesia dan cuba dibawa masuk melalui Tanjung Balau dan seterusnya ke Desaru.

“Kami juga yakin mereka yang ditahan sudah beroperasi lebih setahun di sini kerana salah seorang daripada suspek pernah ditahan atas kesalahan menyeludup pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan tekong darat yang terlibat menyeludup rokok tersebut ke negara ini.

Beliau memberitahu, setakat ini dipercayai terdapat dua individu tempatan yang terlibat dengan kegiatan penyeludupan di kawasan berkenaan, tetapi identiti sebenar mereka masih belum dapat dikenal pasti.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan akan didakwa mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.

Share This Post

    rss RSS 2.0    commentgreen Response

Leave a Reply

 

Warning: gzinflate() [function.gzinflate]: data error in /home/parlimen/public_html/wp-content/themes/green/footer.php on line 1