Shahrir sokong titah Sultan Johor

shahrir319 Jun, Johor Bahru - Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad menyokong titah Sultan Johor, Sultan Iskandar Ismail yang tidak bersetuju dengan pembinaan jambatan ketiga menghubungkan kawasan timur negeri ini dengan Changi di Singapura.

Justeru, beliau berharap semua pihak akur dengan titah Sultan Iskandar itu kerana pada masa ini tidak terdapat keperluan mendesak membina jambatan itu memandangkan isu kesesakan trafik di Tambak Johor yang masih belum selesai hingga sekarang.

Katanya, titah Sultan Iskandar itu mencerminkan pendapat sebahagian besar rakyat negeri ini yang tidak pernah terlintas dalam pemikiran mereka dengan pembinaan jambatan ketiga itu.

“Titah baginda sudah mengambil kira permintaan timbal balas oleh negara jiran itu sebelum membina jambatan ketiga ini kerana Singapura tidak pernah memikirkan projek itu sebagai persendirian tetapi membuka peluang kepada mereka mengenai perkara berbangkit lain.

“Cadangan pembinaan jambatan ini telah dikemukakan oleh Kuala Lumpur dan bukannya Singapura. Mereka bersetuju untuk memperhalusi cadangan itu tetapi Lee Kuan Yew (Menteri Mentor Singapura) telah mengaitkan cadangan projek itu dengan isu-isu lama (jual pasir).

“Justeru, titah baginda melambangkan perasaan prihatin rakyat Johor agar kerajaan tidak terperangkap dengan main politik Singapura menerusi cadangan pembinaan jambatan ketiga,” katanya.

Minggu lalu, Shahrir yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru menyifatkan jambatan ketiga itu tidak wajar dibina kerana ia bukan satu keperluan mendesak.

Beliau berpendapat, penggunaan bot dan feri di perairan Pengerang adalah bersesuaian kerana ia menepati imej kawasan sebagai pusat riadah dan pelancongan berbanding jambatan ketiga.

Sehubungan itu, katanya, kos pembinaan jambatan ketiga itu lebih baik digunakan untuk membina jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor yang berusia lebih 83 tahun.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pengerang, Dato Sri’ Dr Azalina Othman Said berkata, beliau menyanjung tinggi serta menghormati titah Sultan Iskandar namun enggan memberi komen lanjut.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan Malaysia dan Singapura kini perlu membuat penilaian semula untuk membincangkan isu-isu berbangkit antara kedua-dua negara.

Share This Post

    rss RSS 2.0    commentgreen Response

Leave a Reply

 

Warning: gzinflate() [function.gzinflate]: data error in /home/parlimen/public_html/wp-content/themes/green/footer.php on line 1