Sultan Johor tidak setuju cadangan jambatan ketiga
18 Jun, Nusajaya - Sultan Johor, Sultan Iskandar Ismail tidak bersetuju dengan cadangan pembinaan jambatan ketiga bagi menghubungkan Malaysia dan Singapura.
Pendirian baginda itu disampaikan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail pada pembukaan Persidangan Dewan Negeri Johor ke-12, di Kota Iskandar di sini hari ini.
“Saya dititahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku bahawa baginda tidak setuju dengan cadangan untuk membina jambatan ketiga,” kata Tunku Ibrahim Ismail.
Tunku Ibrahim Ismail dan Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibrahim sebelum itu mengiringi Sultan Iskandar memeriksa perbarisan sempena perasmian pembukaan persidangan berkenaan.
Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, Speaker DUN, Datuk Mohd. Ali Hassan dan anggota DUN.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengumumkan bahawa Singapura berminat untuk membina jambatan ketiga menghubungkan Changi di negara berkenaan dan bahagian timur Johor iaitu di Pengerang.
Cadangan pembinaan jambatan ketiga itu diutarakan dalam pertemuan Najib dan rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong di Singapura pada 22 Mei lalu.
Pembinaan jambatan ketiga itu dilihat sebagai satu cadangan yang mendatangkan banyak faedah kepada Malaysia dan Singapura kerana dengan adanya jambatan ketiga itu, kawasan timur Johor seperti Pengerang dan Mersing hingga Kuantan, Pahang dan Terengganu dapat dibangunkan dengan lebih pesat.
Selain itu, pembinaan jambatan ketiga itu juga dilihat mampu merancakkan lagi projek pembangunan di Iskandar Malaysia.


































