pengerang

8 Jun, Kuala Lumpur - Penyedia perkhidmatan minyak dan gas, Dialog Group Bhd, merancang melabur lebih AS$1 bilion (AS$1=RM3.50) untuk membina terminal storan dan kemudahan pelabuhan di Pengerang, Johor.

Pengerusi/Pengarah Urusan Kumpulan, Ngau Boon Keat, berkata projek itu akan bermula awal tahun depan sebaik ia disahkan berdaya maju selepas kajian mengenainya dilakukan, termasuk penilaian impak alam sekitar.

“Projek itu dijangka mengambil masa 10 tahun. Ia mungkin dibahagikan kepada tiga fasa, dan kami akan mempelawa rakan usaha sama lain seperti perbadanan multinasional yang terlibat dalam perkhidmatan storan minyak untuk membangun dan mengurus terminal itu,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan negeri Johor dan Setiausaha Kerajaan Negeri (Diperbadankan) mengenai projek itu, di sini Isnin.

Turut hadir ialah Menteri Besar Johor YAB Datuk Abdul Ghani Othman dan Ahli Parlimen Pengerang, YB Dato Sri Dr Azalina Othman Said.

Ngau berkata menerusi MoU itu, pihak yang terlibat akan membentuk syarikat usaha sama untuk melaksanakan pembangunan terminal di kawasan 200 hektar yang ditebus guna di Johor Tenggara.

“Ia merupakan kemudahan terminal air dalam bebas pertama di Asia Tenggara,” katanya dan menambah terminal itu akan dapat menampung kira-kira empat hingga lima juta meter padu storan.

Beliau berkata permintaan untuk kemudahan storan di kawasan ini semakin meningkat walaupun wujud krisis kewangan dan projek yang dicadangkan itu, terletak bersebelahan Singapura. tepat pada masanya untuk memenuhi permintaan.

“Kami menyedari bahawa tidak ada kapasiti tanah untuk peluasan di Singapura. Projek ini akan membolehkan Johor menjadi hab perdagangan dan logistik petroleum yang penting,” katanya.

Singapura ialah hab utama rantau ini bagi dagangan petroleum.

Ngau berkata Singapura baru-baru ini merancang membangunkan kemudahan storan terapung dan bawah tanah yang menelan kos lebih tinggi antara 30 dan 50 peratus daripada kos biasa kemudahan atas tanah, sekaligus menjadikan terminal yang dicadangkan oleh Dialog lebih kompetitif.

Sementara itu, dalam satu kenyataan di sini hari ini, Dialog berkata terminal yang dicadangkan itu akan mengendali, menyimpan, mencampur dan mengedar produk petroleum dan minyak mentah dengan kemudahan pelabuhan yang mampu mengendalikan kapal pembawa minyak mentah besar dengan kedalaman sehingga 26 meter.

“Projek ini merupakan pelaburan ketiga terbesar selepas Terminal Kertih dan Terminal Langsat, yang akan meningkatkan sumber-sumber pendapatan berulang dan berkekalan pada masa depan,” katanya.

Share This Post
    rss RSS 2.0    commentgreen Response

Leave a Reply

 

Warning: gzinflate() [function.gzinflate]: data error in /home/parlimen/public_html/wp-content/themes/green/footer.php on line 1