Azalina mahu Singapura bertanggungjawab

img_4739124 Feb, Johor Bahru - Singapura perlu bertanggungjawab terhadap pencemaran di perairan Pengerang, Kota Tinggi dekat sini gara-gara kegiatan pemindahan minyak dari kapal ke kapal oleh ejen- ejen kapal negara itu. Ahli Parlimen merangkap Ketua UMNO Bahagian Pengerang, YB Dato’ Sri Azalina Othman Said berkata, kesan kegiatan tersebut bukan saja menyebabkan berlaku pencemaran malah menjejaskan sektor pelancongan di negeri Johor.

“Kerajaan Singapura tidak boleh bersikap ‘baling batu, sembunyi tangan’ kerana kegiatan di perairan Pengerang menyebabkan pendapatan 4,000 nelayan terjejas.

“Pencemaran tersebut bukan sahaja memusnahkan ekosistem, malah melumpuhkan industri pelancongan di pantai itu yang berpotensi menjadi produk pelancongan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Azalina mengulas pendedahan Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) yang mempunyai bukti kukuh ejen kapal dari Singapura terlibat dalam kegiatan pemindahan minyak dari kapal ke kapal secara haram di perairan Pengerang.

Menurut APMM, ejen terbabit mengaut keuntungan jutaan ringgit dengan menawarkan khidmat pemindahan minyak di luar kawasan pelabuhan untuk mengelak permit dan caj pelabuhan.

Mengulas lanjut, katanya, sejak lima tahun lalu ramai pelancong merungut kerana tidak dapat menikmati aktiviti pantai termasuk mandi-manda, meluncur, menyelam dan berkayak kerana pantai di situ dicemari sisa minyak dan sampah sarap.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, kegiatan yang dikesan sejak 15 tahun lalu itu semakin berleluasa sejak tiga tahun kebelakangan ini.

“Kegiatan ini turut melumpuhkan sektor pelancongan di Tanjung Punggai, Teluk Ramunia, Kampung Sungai Kapal, Batu Layar dan beberapa kawasan berhampiran kerana pantainya dicemari sisa minyak yang teruk,” katanya.

Katanya lagi, APMM, Jabatan Shahbandar, Pasukan Gerakan Marin dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) perlu mengambil tindakan tegas membendung perbuatan tersebut sebelum pencemaran lebih buruk berlaku.

“Saya mahu agensi penguat kuasa yang berkaitan mengambil serius masalah itu termasuk mengenakan tindakan lebih tegas terhadap mereka yang terbabit,” ujar beliau.

Kata Azalina, sebagai wakil rakyat Pengerang, masalah itu sering dibangkitkan oleh penduduk setempat khususnya nelayan.

 

Share This Post
    rss RSS 2.0    commentgreen Response

Leave a Reply

 

Warning: gzinflate() [function.gzinflate]: data error in /home/parlimen/public_html/wp-content/themes/green/footer.php on line 1