PKB Pengerang atasi masalah penduduk pedalaman

21 November, Air Tawar 5 - Program Khidmat Bergerak (PKB) Parlimen Pengerang diakui banyak membantu menyelesaikan masalah penduduk kampung khususnya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.Khidmat bergerak itu merupakan jawapan kepada isu jurang antara pemimpin dan rakyat yang dirasai penduduk hingga kebanyakan masalah mereka tidak didengari sebelum ini.

Seorang penduduk Kampung Pasir Gogok, Mansor Salleh, 45, berkata, dia mengharapkan khidmat itu diperluaskan ke segenap pelusuk kampung kerana ia cukup berkesan membantu masyarakat.

Mansor yang juga Ketua UMNO Cawangan Kampung Pasir Gogok berkata, sejak Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said memperkenalkan program itu rata-rata masalah penduduk dapat dipercepatkan urusannya oleh agensi kerajaan. Katanya, antara impak yang dapat dilihat ialah pelbagai bantuan kepada penduduk, menaik taraf dan memperbaiki kemudahan asas di kampung tradisional dilaksanakan.

“Masjid, balai raya, jeti nelayan, lampu jalan dan jalan berturap semuanya mendapat perhatian sewajarnya menerusi khidmat bergerak ini.

“Menerusi program itu juga wakil rakyat dapat mengesan golongan istimewa termasuk, kanak-kanak cacat, warga emas keluarga miskin di mana mereka ini telah diberikan bantuan yang sewajarnya,” katanya di sini baru-baru ini.

Begitu juga dengan Rosmah Hassan, 36, menyifatkan kehadiran ‘petugas-petugas Azalina’ ke merata kampung melegakan hati penduduk khususnya yang ditimpa masalah. Ibu kepada dua anak ini berkata, keprihatinan Azalina selaku Ketua UMNO Bahagian Pengerang yang memperkenalkan perkhidmatan bergerak itu menunjukkan beliau seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.

“Saya amat berterima kasih kerana banyak bantuan yang dihulurkan oleh beliau bagi membolehkan kami sekeluarga menikmati kehidupan seperti orang lain,” katanya.

Rabu Paimin, 55, dari Bandar Sungai Mas, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar berkata, semenjak PKB itu diperkenalkan, ternyata kehidupan penduduk setempat didapati lebih terbela dan terbuka minda.

“Mana tidaknya, banyak maklumat terkini, pendedahan dan juga masalah harian dapat diselesaikan.

“Keadaan ini membolehkan kami menjadi masyarakat yang sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan berdaya saing dalam apa juga keadaan,” katanya.

Kata Rabu, menerusi program itu juga membolehkan pihaknya menyertai aktiviti dan peluang- peluang perniagaan yang boleh diceburi, bagi menambah pendapatan keluarga.

Share This Post

    rss RSS 2.0    commentgreen Response

Leave a Reply