Desaru dipilih sebagai Hub Pembangunan Bio Pelancongan

23 Novermber, Desaru - Bertempat di Kilometer 20 Jalan Desaru-Kota Tinggi, satu majlis bagi mewujudkan hub pembangunan Bio Pelancongan telah diadakan. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, YAB Datuk Seri Abdul Ghani Othman. Turut hadir pada majlis yang penuh bermakna itu ialah Ahli Parlimen Pengerang, YB Dato’ Sri Azalina Othman Said merangkap Menteri Pelancongan.

Bio Pelancongan di Bio Desaru adalah merupakan projek kerajaan Negeri Johor dengan usahasama Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (JBBC) melibatkan seluas 9,000 ekar tanah yang akan dibangunkan sebagai Lembah Makanan Organik Bersepadu. Projek ini melibatkan para pelabur dari dalam dan luar negara seperti India, Thailand dan Australia.

Selain pembangunan pertanian, Bio Desaru juga bakal menjadi antara destinasi pelancongan tersohor di Malaysia di mana konsep bio-pelancongan diperkenalkan. Pembangunan Bio Desaru memperlihatkan aplikasi bioteknologi bukan sahaja terhad dalam sektor pertanian bahkan boleh diperluaskan dalam sektor pelancongan.

Integrasi antara elemen bio dan pelancongan diketengahkan menjadi strategi pelancongan di Desaru. Potensi sedia ada yang terdapat di Desaru menggalakkan lagi pembangunan bio-pelancongan ke arah “SOUTHERN TOURIST BELT OF MALAYSIA”.

Azalina ketika ditemui berkata, pemilihan Desaru sebagai tapak pembangunan untuk projek ini amat dialu-alukan. Ini kerana ia secara tidak lansung dapat mempromosikan semula Desaru sebagai salah satu dari destinasi pelancongan dalam negara.

Seluas hampir 200 ekar daripada keseluruhan kawasan pembangunan Bio Desaru bakal dibangunkan bagi tujuan bio-pelancongan. Kedudukannya di tengah-tengah pembangunan Bio Desaru memberi nilai aksesibilti (kemudahsampaian) yang tinggi kepada pembangunan bio-pelancongan.

Pembangunan Bio Pelancongan adalah titik tumpu (focul point) di Bio Desaru dan berperanan sebagai hub pengumpulan pengeluaran pertanian, medium pemasaran dan pusat tarikan pelancongan. Pusat pelancongan yang diterapkan adalah bertemakan edu-pelancongan bagi mendedahkan penyelidikan dan pembangunan bioteknologi secara praktis.

Teras utama pembangunan Bio Pelancongan merangkumi kebudayaan tempatan, kesihatan dan ekologi. Terdapat dua fasa utama pembangunan di Bio Pelancongan. Tema pembangunan fasa pertama berkonsepkan pembangunan rekreasi dan pelancongan manakala fasa kedua memberi fokus kepada pembangunan komersial.

Keseluruhan pembangunan Bio-Pelancongan melibatkan kos infrastruktur, kos pembinaan dan kos profesional iaitu sejumlah RM 10 juta. Kos pembinaan Bio Pelancongan adalah RM 4 juta manakala kos profesional RM 1 juta dan RM 5 juta adalah untuk kos infrastruktur asas yang merangkumi kerja-kerja tanah, pembinaan jalan raya, tangki simpanan air, elektrik, dan kos landskap tanpa infrastruktur Bio-sekuriti.

Walau bagaimanapun, kos infrastruktur bagi projek ini adalah lebih tinggi dari dinyatakan memandangkan Bio-sekuriti dijadikan infrastruktur utama dalam pembangunan Bio Desaru bagi mencapai Lembah Makanan Organik yang bertaraf antarabangsa.

Infrastruktur Bio-sekuriti berfungsi sebagai pencegah penyebaran penyakit (zon penampan) bagi memastikan hasil pertanian bebas dari virus dan wabak. Matlamat ini seiring dengan Visi & Misi Bio Desaru iaitu menjadi sebuah Lembah Makanan Organik yang selamat, berkualiti dan halal, di samping penekanan kepada Bio-sekuriti yang berpotensi sebagai elemen penting dalam aplikasi pembangunan pelancongan yang sihat di masa akan datang.

Share This Post

    rss RSS 2.0    commentgreen Response

Leave a Reply