Aduan rakyat secara elektronik
21 November, Air Tawar 5 - Program Khidmat Bergerak Parlimen Pengerang yang ditubuhkan empat tahun lalu melangkah setapak lagi apabila berjaya mewujudkan sistem aduan secara dalam talian (online) khususnya menerusi saluran Internet bagi menyelesaikan masalah penduduk.
Program Khidmat Bergerak yang merupakan cetusan idea, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said itu kini memberi khidmat kepada kira-kira 60,000 penduduk di kawasan itu dengan berkesan. Menurut Azalina, bagi menyelaras program itu pihaknya mempunyai pegawai khas yang diketuai, Syed Ben Bella Syed Agil dengan di bantu oleh lapan kakitangan lagi.
Azalina yang juga Menteri Pelancongan berkata, khidmat yang menggunakan van bergerak itu masuk ke segenap kawasan bagi mendekati dan ‘mengutip’ masalah penduduk untuk diselesaikan.
Apabila aduan diterima, petugas-petugas akan cuba menyelesaikan terus dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan menerusi dalam talian elektronik. Sebagai contoh, katanya, jika timbul masalah berkaitan permohonan pinjaman pelajaran, maka petugas akan membuat susulan terhadap agensi terlibat bagi mempercepatkan proses kelulusan.
“Ia diselesaikan serta-merta dalam pejabat bergerak yang merupakan sebuah van yang dilengkapi kemudahan serba canggih dengan direka khas untuk memastikan semua aduan yang diterima dapat diatasi dengan kadar segera,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurutnya, keperluan untuk mewujudkan khidmat itu memang menjadi keutamaan kerana Parlimen Pengerang terbahagi kepada dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Penawar dan Tanjung Surat.
”Antara tujuan kita menubuhkan unit itu bagi mendekatkan saya selaku Ahli Parlimen dengan penduduk kampung terutama yang tinggal di DUN Tanjung Surat yang agak jauh dari pejabat yang terletak di Felda Air Tawar 5.
”Menerusi kaedah ini ia memudahkan sebarang aduan tanpa sebarang kerenah birokrasi kerana kami datang ke rumah mereka,” katanya.
Jelasnya, berdasarkan pengamatan khidmat itu yang telah dilaksanakan lebih empat tahun itu, ternyata memberikan impak besar kepada penduduk setempat. Menurutnya, pendekatan yang digunakan bukan sahaja memudahkan, tetapi lebih berkesan kerana Ahli Parlimen terasa dekat di hati mereka.
Katanya, setiap aduan yang diterima dikategorikan kepada empat jenis iaitu aduan, sokongan, peruntukan dan sebagainya.
”Kita bagi kepada empat untuk memastikan keberkesanan program. Semua aduan yang diterima akan diberikan surat terima kasih dan maklum balas mengenai status aduan yang dibuat.
”Sebarang tindak balas yang diterima dari agensi kerajaan mahupun sokongan daripada mereka yang berkenaan, pihak pengadu akan diberikan satu salinan,” katanya.
Beliau berkata, ini bagi mengelakkan pengadu tertunggu-tunggu akan status permohonan yang dibuat, di samping mengelakkan sebarang aduan yang dibuat terlepas pandang dan tiada sebarang tindakan diambil.
Tambah Azalina, semua aduan yang telah diproses akan dikategorikan mengikut empat bahagian iaitu dalam proses, menunggu maklum balas, permohonan yang tidak lengkap dan aduan yang telah selesai.





































