Wanita UMNO perlu segera selesaikan isu peralihan – Azalina
11 November, London - Isu peralihan kuasa antara Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz dengan Naib Ketuanya, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil perlu diselesaikan secepat mungkin demi perpaduan parti itu, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, YB Dato’ Sri Azalina Othman Said.
Menurut beliau, kedua-dua pemimpin sayap parti itu perlu bijak mencari jalan penyelesaian supaya tidak berlaku masalah kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang mempunyai semangat kekeluargaan dalam menyelesaikannya.
”Bagi saya perlu kedua-dua mereka mencari jalan penyelesaian, biarkan Wanita selesaikan masalah itu.
”Mungkin anggota akar umbi mahukan perubahan tetapi dalam masa sama terdapatnya janji,” katanya di tapak pameran Malaysia Pavilion di Pasaran Pelancongan Dunia di Excel London di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas keputusan Mesyuarat Exco Pergerakan Wanita UMNO semalam yang memutuskan pelan peralihan kuasa antara Rafidah dan Shahrizat dikekalkan pada Jun tahun depan.
Bagaimanapun, Shahrizat mahu isu peralihan kepimpinan dalam pergerakan itu dirunding bagi mencari jalan penyelesaian terbaik selaras dengan pemilihan di peringkat Pusat termasuk Pemuda dan Puteri.
Azalina yang berada di sini sempena Mesyuarat Menteri Pelancongan Komanwel kali ketiga esok berkata, apa yang penting bagi pergerakan itu adalah fokus terhadap kekuatan parti dan BN dalam membantu mencapai kemenangan pada pilihan raya umum akan datang dan pilihan raya kecil yang mungkin akan berlaku bila-bila masa.
“Fokus wanita sekarang ialah kuatkan partinya. Bagi saya mereka perlu cepat selesaikan masalah ini. Kalau Wanita lemah dan tidak bersama ia akan melemahkan UMNO.
“Apa pun keputusan yang mereka buat ini, saya harap mereka akan kembali supaya dapat sama-sama fokus dan beri penekanan kepada UMNO di samping melihat pendekatan baru untuk pengundi muda kepada Barisan Nasional dan UMNO,” katanya.





































