Wanita Mula Membuka Pintu Buat Azalina
10 November, Bandar Penawar - Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, YB Dato’ Sri Azalina Othman Said tidak melihat kekurangan pencalonan untuk melayakkannya bertanding jawatan Naib Ketua Wanita UMNO pada pemilihan parti Mac depan sebagai suatu kegagalan. Sebaliknya, beliau yang juga Menteri Pelancongan dan Ahli Parlimen Pengerang menganggap 14 pencalonan yang diterimanya setakat ini untuk jawatan tersebut diibaratkan sebagai ‘pintu yang telah dibuka’.
“Saya tidak melihatnya sebagai suatu kegagalan. Ia adalah percubaan pertama saya. Saya melihatnya sebagai tanda bahawa pintu sudah dibuka, mungkin pintu itu tidak besar sangat, tetapi ia telah dibuka.
“Bagi saya ia adalah suatu petanda yang baik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian persidangan perwakilan UMNO Bahagian Pengerang di Bandar Penawar di sini, semalam.
Azalina yang memenangi jawatan Ketua UMNO bahagian itu berkata, beliau turut melihat kejayaan bekas-bekas Ketua Puteri bahagian yang berjaya merebut jawatan Ketua Wanita sebagai suatu kejayaan. Katanya, setakat ini terdapat 10 orang Ketua Puteri yang berjaya menjadi Ketua Wanita dan kejayaan mereka itu merupakan suatu petanda yang amat baik kepada UMNO.
Beliau yang sebelum ini merupakan Naib Ketua UMNO Bahagian Pengerang, berjaya merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian selepas penyandang, Datuk Harun Abdullah gagal memperoleh cukup pencalonan untuk mempertahankan jawatan.
Azalina berkata, kejayaannya itu merupakan suatu petanda bahawa perwakilan UMNO Bahagian Pengerang mahukan perubahan dan mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memilihnya.





































