Pelancongan Mampu Meningkatkan Ekonomi Masyarakat Pengerang-Azalina
10 November, Bandar Penawar - Ahli Parlimen Pengerang, Dato’ Sri Azalina Othman Said, menegaskan adalah merupakan cabaran kepada beliau sebagai Ketua Umno Bahagian yang baru untuk memberikan penekanan kepada isu berkaitan dengan kebajikan masyarakat di Pengerang ini.
Katanya, isu yang akan menjadi penekanannya ialah berkaitan dengan pembangunan pendidikan anak-anak dan juga berkaitan dengan kebajikan terutamanya kepada masyarakat luar bandar.
Bagaimanapun, menurut beliau soal pelancongan juga tidak akan dikecualikan kerana berpendapat bahawa industri ini mampu menambahkan lagi ekonomi masyarakat setempat.
“Satu ketika dahulu Pengerang merupakan sebuah destinasi pelancongan yang amat terkenal dan ramai pelancong yang datang ke sini.
“Adalah menjadi cabaran kepada saya dan masyarakat disini untuk mengekalkan keunikan yang sedia ada disamping berusaha untuk menjadikan pelancongan sebagai produk utama di kawasan ini.
“Sebab saya percaya, dengan kedatangan pelancong yang ramai ke Pengerang ini, secara tidak langsung ia akan menambahkan lagi ekonomi masyarakat setempat,” ujar Azalina ketika menjawab pertanyaan para wartawan semalam.





































