Tanggungjawab Kerajaan Menjaga Keamanan Negara - Azalina
2 Oktober, Kuala Lumpur - Kemerihan sambutan Hari Raya Aidilfitri di PWTC semalam dicemar dengan kehadiran hampir 1,000 pengikut dari pertubuhan haram Hindu Rights Action Force (Hindraf). Ini kerana tindakan mereka menyerbu majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet beragama Islam kelmarin adalah satu bentuk provokasi yang melampau dan menakutkan.
YB Dato’ Sri Azalina Othman Said, Menteri Pelancongan ketika ditemui berkata pendekatan mereka bukanlah merupakan satu budaya masyarakat Malaysia.
“Saya melihat ini sebagai satu pendekatan yang tidak elok terutama apabila ia di lihat oleh para pelancong asing.”
Azalina yang diminta mengulas perbuatan sekumpulan penyokong Hindraf yang menimbulkan kekecohan pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.
Tanpa mempedulikan peraturan, mereka bertindak mendahului barisan pengunjung lain yang sudahpun beratur untuk memasuki dewan sejak pukul 10 pagi. Walaupun timbul kekecohan, mereka dibenarkan memasuki dewan atas semangat hari raya.
Rombongan ini dilihat cuba mengambil kesempatan di atas penganjuran ‘Majlis Rumah Terbuka’ tersebut untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada pihak kerajaan.
Pada hari kejadian, polis tidak bertindak terhadap mereka kerana tidak mahu merosakkan suasana gembira pada majlis rumah terbuka itu.
Azalina turut menegaskan “musuh yang datang perlu mempunyai sikap beramah dan beralas, ini kerana menurutnya kita mempunyai budaya dan budaya timur yang kita amalkan penuh dengan adap dan susila.
“Sambutan yang diadakan ini adalah untuk tetamu, oleh itu sekiranya mereka datang sebagai tetamu, mereka harus berkelakuan seperti tetamu. kalau nak hantar memorandum tu tunggulah sehingga parlimen bersidang pada 13 haribulan.
“Saya tidak melihat, sekiranya memorandum itu diserahkan pada hari ini akan memberikan sebarang perbezaan kepada sahabat-sahabat mereka yang berada di dalam ISA” kata beliau lagi.
Azalina turut menegaskan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjaga keselamatan negara. Oleh yang demikian mereka (Hindraf) seharusnya membenarkan kerajaan menjalankan tugas yang perlu dilaksanakan.






































