Moreh di Kg.Sg Layau dalam suasana kemesraan
Kg Sg.Layau 12 sept – Kesanggupan Dato’ Sri Azalina Othman Said untuk hadir dalam majlis moreh yang diadakan di perkarangan masjid Kampung Sungai Layau sebaik sahaja selesai menunaikan jemputan kariah Semenchu’ telah memberikan erti yang cukup mendalam kepada penduduknya kampung tersebut.
Walaupun kehadiran Ahli Parlimen Pengerang yang juga Menteri Pelancongan Malaysia ke majlis pada malam itu agak lewat iaitu sekitar jam sepuluh malam, namun itu tidaklah menjadi alasan untuk mereka `menarik muka’ ataupun merasa hampa.
Sebaliknya, rata-rata penduduk yang di temui mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dato’ Sri Azalina kerana sudi untuk ber ‘moreh’ dengan mereka walaupun sedikit lewat. Pada mereka kehadiran Dato’ Sri Azalina di kampung mereka sudah cukup besar ertinya dan ia merupakan satu penghormatan serta sesuatu yang amat membanggakan mereka.
Ini kerana, mereka amat memahami yang Ahli Parlimen kesayangan penduduk setempat dan insan yang bakal dinobatkan sebagai Ketua Umno Bahagian Pengerang sedikit masa lagi itu terlalu sibuk dan telah dipaksa berhadapan dengan pelbagai jadual undangan yang agak padat lebih-lebih lagi di bulan puasa ini.
Apa yang lebih membanggakan penduduk kampong Sg. Layau, kehadiran Dato’ Sri Azalina, pemimpin kebanggaan mereka pada malam itu bukanlah bersendirian, sebaliknya ia turut ditemani oleh hampir 20 orang pengawai dari pejabat Menteri Pelancongan yang didatangkan khas dari Kuala Lumpur dan juga pengawai-pegawai dari pejabat parlimen.
Sebagai menghargai jasa baik yang diberikan oleh ahli parlimen itu, penduduk kampung telah menjamu rombongan yang hadir itu dengan kuih muih.
Walaupun Azalina merupakan seorang ahli parlimen yang bertaraf menteri, ia tidak menghalang beliau duduk bersama penduduk kampong itu untuk menikmati hidangan yang disediakan sambil bertanyakan khabar mereka semua.






































