Nama Desaru Tercatat di dalam Malaysia Book of Record
29 Ogos, Desaru - Tahun 2008 membawa seribu erti buat warga Pengerang, ini kerana sepanjang tahun ini pelbagai peristiwa dan perkara telah berlaku. Ada yang manis dan ada juga pahit, namun begitu ia adalah asam garam kehidupan yang membawa kepada erti kehidupan.
Sebelum ini, ramai yang seakan lupa akan wujudnya daerah kecil ini, nama Pengerang seolah telah hilang dari radar baik di peringkat nasional apatah lagi di peringkat antarabangsa. Namun ia telah berubah wajah sedikit demi sedikit.
Sejak persempadanan semula, daerah kecil ini mula terkenal dan terlakar kembali di peringkat kebangsaan. Sekiranya dahulu Pengerang hanya dikenali sebagai kawasan hulu dan menjadi momokan tempat ‘jin bertendang’ lantaran lokasinya yang jauh terpencil.
Kini, daerah kecil Pengerang sudah kembali bersinar hari demi hari. Kehadiran YB Dato’ Sri Azalina Othman Said sebagai ahli parlimen Pengerang telah banyak merubah wajah kawasan ini. Usaha yang berterusan untuk memajukan Pengerang telah menjadikan daerah ini kembali ‘bernyawa’.
Bermula sebagai Menteri Belia dan Sukan dan kini memegang portfolia Menteri Pelancongan, Azalina dilihat berjaya mencorak Pengerang menjadi lebih bertenaga setanding dengan daerah-daerah lain.
Kini, dengan kelebihan sebagai Menteri Pelancongan, Pengerang semakin di kenali dan di minati. Tempat seperti Desaru, Tanjung Balau, Sungai Rengit, Tanjung Pengelih, Bandar Penawar adalah antara destinasi yang sudah tidak asing lagi bagi pengunjung yang datang ke Pengerang.
Hanya bulan lalu, nama Tanjung Balau tercatat di dalam buku rekod Malaysia (Malaysia Book of Record) apabila menjadi tempat berlangsung upacara ikan bakar terpanjang. Hari ini, nama Desaru pula terlakar di dalam buku kebanggaan rakyat Malaysia itu, apabila Rajagopal berjaya memandu secara mengundur sejauh 88 km. Bermula dari Jalan Ungku Puan, Gajagopal telah mengakhiri cabarannya di pantai peranginan Desaru.
Beliau yang memandu kereta Perodua Kembara berpandukan cermin pandang belakang dan sisi bermula tepat pukul 8.08 pagi dan tiba di Desaru pukul 11.00 pagi. Walaupun pada awal perjalanan, hujan renyai-renyai, namun Rajagopal nekad untuk menghabiskan cabaran tersebut.
Semoga dengan kesungguhan yang ditunjukkan Azalina untuk membangunkan daerah kecil ini, akan membakar semangat lebih ramai lagi rakyat Malaysia untuk mencatakan nama mereka dalam ‘Malaysia Book of Recors’ di kawasan Pengerang.







































