Bola Sepak Pantai Desaru - Malaysia dalam Kumpulan A
26 Ogos, Desaru - Pasukan Bola Sepak Pantai Malaysia akan bersaing bersama Oman, Timor Leste, Indonesia dan Vietnam dalam Kumpulan A pada pertandingan Piala Jemputan Raja Muda Johor 2008 yang bermula hari ini.
Pertandingan bola sepak pantai yang julung kali diadakan itu disertai oleh 10 pasukan dan akan berlangsung sehingga Sabtu ini di Hotel Desaru Golden Beach, Kota Tinggi.
Kumpulan B pula diwakili pasukan Myanmar, Thailand, Laos, Filipina dan Brunei.
Undian menentukan kumpulan pasukan itu dilakukan oleh Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibrahim pada satu majlis, di sini, kelmarin.
Beliau yang merupakan penaung kejohanan tersebut berharap pasukan Malaysia mampu mempamerkan persembahan terbaik.
“Ini adalah kejohanan yang julung kali diadakan dan saya harap kita dapat melihat satu persembahan menarik daripada tuan rumah,” katanya.
Tunku Ismail Ibrahim turut akan bermain dalam pasukan ASEAN All Star pada hari terakhir kejohanan yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Pelancongan, kerajaan negeri Johor, Majlis Tindakan Pelancongan Johor dan Hotel Desaru Golden Beach itu.
Pasukan Malaysia akan bertemu Oman yang merupakan pasukan terbaik di negara Timur Tengah pada hari pertama kejohanan.
Juara kejohanan akan membawa pulang wang tunai RM26,800 (AS$$8,000), kedua (RM16,750 (AS$$5,000)) dan ketiga (RM10,000 (AS$$3,000)).






































