Terima Kasih Dato’ Sri Jasamu Dikenang
24 Ogos, Kampung Baru - Bertempat di Kampung Baru, Semenchu YB Dato’ Sri Azalina Othman Said, selaku Ahli Parlimen Pengerang merangkap Menteri Pelancongan telah mengambil kesempatan hujung minggu untuk melawat kawasan bagi melihat sendiri masalah penduduk.
Walaupun terletak di hujung ladang kelapa sawit, perkampungan nelayan ini sebenarnya telah wujud sejak 45 tahun yang lalu. Ketiadaan bekalan asas sejak dahulu, telah mengakibatkan mereka yang bergantung kepada sumber laut semata-mata ini, hidup dalam penuh kedaifan.
Titi kecil yang di perbuat dari kayu-kayu hutan adalah merupakan satu-satunya jalan perhubungan untuk mereka berulang-alik ke laut bagi mencari punca rezeki suatu ketika dahulu.
Sudahlah hidup dengan penuh kemiskinan, perkampungan yang mempunyai 10 buah rumah ini terpaksa menempuh kehidupan dengan kepayahan dan kesusahan. Ketiadaan bekalan air bersih, tenaga eletrik, jalan bertar dan pelbagai kemudahan asas yang lain tidak pernah mematahkan semangat mereka untuk meneruskan kehidupan seharian.
Mungkin di sebabkan kampung itu hanya mempunyai kira-kira 40 orang penduduk, mereka solah-olah tidak wujud di dalam peta kawasan. Adalah suatu yang menyedihkan, tatkala negara bakal menyambut hari kemerdekaan yang ke-51, nun jauh di sana masih ada lagi mereka yang hidup serba kekurangan.
Namun itu semua telah berlalu. Sejarah hitam mereka suatu ketika dahulu telah mula digantikan dengan mimpi-mimpi indah. Kini perkampung tersebut telah mula bertukar wajah. Pelbagai pembangunan telah mula dirasai oleh mereka dan kemudahan asas sedikit demi sedikit telah mula dinikmati.
Bermula dengan baik-pulih rumah, YB Dato’ Sri Azalina Othman Said telah menyalurkan peruntukkan untuk membaiki kesemua perumahan di kampung tersebut. Tidak cukup dengan itu, selaku ahli parlimen Pengerang Azalina juga turut menyalurkan peruntukkan untuk menukar titi usang itu kepada jambatan yang baru bagi membolehkan mereka ke laut mencari hasil tangkapan bagi menyara keluarga.
Enjin-enjin bot juga diberikan, sebagai salah satu usaha untuk mereka memperolehi hasil tangkapan yang lebih lumayan khusus untuk meningkatkan taraf hidup mereka yang penuh kesempitan selama ini.
Keprihatinan Azalina tidak berhenti setakat itu sahaja, melalui peruntukan ahli Parlimen dua set ganerator berkuasa petrol juga telah di salurkan untuk memberikan kemudahan api buat penduduk kampung tersebut.
Walau pun bersifat sementara sebelum mereka menerima kemudahan eletrik dari Tenaga Nasional, ganerator tersebut bertujuan untuk memudahkan kehidupan mereka. Selain dari itu ia juga bertujuan untuk memudahkan anak-anak mereka yang masih bersekolah mengulangkaji pelajaran di malam hari.
Tidak cukup dengan itu, beberapa peralatan dan kelengkapan rumah turut diberikan kepada semua penduduk kampung itu bagi membolehkan mereka hidup seperti insan lain.
Semasa mengadakan lawatan tersebut, Azalina telah meluangkan masa kira-kira 2 jam untuk meneliti dan mendengar sendiri, sekiranya ada lagi masalah yang masih belum beliau selesaikan.
Sebagai menghargai jasa baik yang diberikan oleh ahli parlimen itu, penduduk kampung telah menjamu rombongan yang hadir itu dengan makan tengahari. Walaupun Azalina merupakan seorang ahli parlimen yang bertaraf menteri, ia tidak menghalang beliau untuk duduk bersimpuh untuk menikmati hidangan yang disediakan itu.
Razak Atan, 65 ketika di temui berkata beliau merasa sungguh terharu dan berbesar hati di atas keikhlasan yang ditunjukkan oleh Dato’ Sri.
“Ini adalah merupakan detik dan kenangan yang paling manis buat diri saya dan keluarga kerana mempunyai wakil rakyat yang prihatin. Saya juga merasa amat berbesar hati dan cukup terharu apabila melihat seorang menteri sanggup duduk bersimpuh di rumah ini sambil menjamu selera.
“Perasaan gembira ini tidak akan berhenti setakat ini sahaja, sekiranya diberi umur yang panjang saya akan pastikan anak, cucu, cicit dan keturunan mengetahui akan sejarah yang cukup berharga ini. Saya juga akan pastikan keturunan Razak Atan sentiasa menyokong kerajaan Barisan Nasional” katanya.
Salah seorang penduduk kampung, Embun Menitik bt Razak, 25 ketika di temui berkata kedudukan kampungnya yang terletak di kawasan pendalaman telah mengakibatkan beliau sekeluarga tersisih dari pembangunan masyarakat.
“Kampung yang wujud pada tahun 1963 ini seolah-olah telah dilupakan dan di pinggirkan dari arus pembangunan. Namun begitu kehadiran Dato’ Sri Azalina di Parlimen Pengerang ternyata telah membawa seribu sinar dan harapan kepada kami sekeluarga.
“Kalau dulu kami hanya mengharapkan lampu lilin dan pelita pada waktu malam. Namun sekarang dengan enjin ganerator yang disumbangkan oleh Dato, seluruh rumah dan kampung telah bermandikan cahaya lampu” katanya.
“Buat Dato Sri, jasamu akan dikenang sehingga ke akhir hayat dan doa saya sentiasa mengiringi perjuangan Dato’ Sri dalam memartabatkan bangsa. Terima kasih Dato’ Sri” katanya sebelum mengakhiri perbualan..







































