Peserta tempatan teruja
15 Ogos, DESARU - Penganjuran Kejohanan Desaru Pengerang International Long Distance Triathlon 2008 sememangnya dinantikan oleh para peserta termasuk peserta tempatan yang tidak sabar untuk menyertai kejohanan berprestij itu.
Bagi mereka, kejohanan itu bukan sahaja tempat untuk beradu kehebatan tetapi juga sebagai satu platform mempelajari taktik mencipta kejayaan bagi acara triathlon yang digunakan oleh peserta luar negara.
Kejohanan kali ke-13 yang akan diadakan di Desaru, Kota Tinggi bermula Sabtu dan Ahad ini, memperlihatkan lebih 1,000 peserta berentap untuk merebut gelaran juara keseluruhan.
Seorang peserta, Mohd. Faizal Ahmad, 30, yang merupakan atlet Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) berkata, azamnya adalah untuk mencuba yang terbaik bagi muncul juara kejohanan tersebut.
Dia yang bertanding atas tiket individu mengharapkan segala usaha dan penat lelahnya berlatih bersama rakan-rakan selama enam bulan membuahkan hasil.
Seorang lagi wakil MBJB, Ramli Ismail, 29, yang juga merupakan atlet Orang Kurang Upaya (OKU) berkata, harapannya hanya satu iaitu untuk berjaya.
Menurutnya, kecacatan bukan penghalang untuk mengorak kejayaan seperti mana yang diimpikan oleh mereka yang normal.
Sementara itu, bagi Mohd. Razi Yunus, 27, kejohanan tersebut merupakan medan untuk menguji tahap kemampuan pasukannya menghadapi setiap cabaran dalam pertandingan itu.
Ujarnya, dengan penyertaan acara itu, semua ahli pasukan dapat mengetahui kelemahan masing-masing dan berusaha memperbaikinya.
“Kita cuba lakukan yang terbaik. Menang kalah adalah adat pertandingan. Kemenangan merupakan bonus bagi kami,” katanya.






































