Bola sepak pantai Raja Muda Johor 2008
HADIAH wang tunai lebih RM48,000 akan menjadi rebutan dalam edisi pertama Kejohanan Jemputan Bola Sepak Pantai - Piala Raja Muda Johor 2008 di Pantai Desaru, 26 hingga 30 Ogos ini.
Sebanyak 10 pasukan mengesahkan penyertaan pada kejohanan itu dan pengerusi penganjur kejohanan, Hardev Pannu yakin ia akan mampu menarik minat orang ramai untuk menceburi sukan yang dianggap baru di kalangan peminat tempatan.
Pasukan yang mengesahkan penyertaan ialah sembilan pasukan Asean - Thailand, Indonesia, Vietnam, Myanmar, Laos, Filipina, Brunei, Timor Leste dan Malaysia manakala satu lagi pasukan ialah Oman.
“Saya percaya kejohanan ini akan memberi peluang kepada peminat tempatan melihat sendiri cara permainan dan saya yakin ia akan menarik perhatian peminat untuk menceburi sukan ini.
“Kebanyakan pasukan yang beraksi tidak mempunyai skuad bola sepak pantai, dan kejohanan ini memberi peluang kepada mereka menguji tahap keupayaan masing-masing di peringkat antarabangsa,” kata Hardev dalam sidang media, semalam.
Kejohanan itu akan turut disertai pasukan Malaysia dan menurut Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad, Piala Raja Muda Johor akan memberi peluang kepada skuad kebangsaan melakukan persiapan sebelum Kejohanan Sukan Pantai di Bali, Oktober depan.
“Skuad kebangsaan mula menjalani latihan pusat sejak seminggu lalu kendalian jurulatih Ismail Zakaria di Morib. Memandangkan kebanyakan pasukan yang beraksi juga masih baru dalam sukan ini, saya percaya ia akan memberi peluang sama rata kepada semua.
“Skuad negara akan beraksi buat kali pertama dalam pertandingan lebih besar di Kejohanan Sukan Pantai di Bali, dan kejohanan jemputan seperti ini membantu persiapan kami.”






































