Lebih 1,000 Atlet Sertai Triathlon Antarabangsa Desaru 2008

desaru-triathlon

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) — Lebih 1,000 atlet triathlon dari 35 negara di jangka menyertai Kejohanan Triathlon Antarabangsa Desaru Pengerang 2008 pada 16 hingga 27 Ogos ini.

Pengerusi Teknikal kejohanan itu Chan Chee Seng berkata jumlah penyertaan mampu melepasi 1,000 peserta kerana setakat hari ini pihaknya menerima 824 penyertaan.

“Setakat hari ini, penyertaan terbesar yang kami terima adalah dari Singapura iaitu sebanyak 300 penyertaan, ” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Triathlon Antarabangsa Desaru Pengerang 2008 melibatkan dua kategori - Triathlon Jarak Jauh dan Triathlon Sprint - berdasarkan kumpulan umur.

Chan berkata para peserta bagi acara Triathlon Jarak Jauh akan berenang sejauh dua kilometer, berbasikal (90km) dan berlari (21km), manakala acara Triathlon Sprint memerlukan peserta untuk berenang sejauh 500m, berbasikal (16km) dan berlari(tiga kilometer).

Pemenang tempat pertama bagi kategori Triathlon Jarak Jauh akan meraih RM10,000, tempat kedua RM7,000 dan tempat ketiga RM5,000 manakala kategori Triathlon Sprint akan meraih RM500 bagi tempat pertama, tempat kedua RM300 dan tempat ketiga RM200.

Acara Triathlon Jarak Jauh akan bermula pada pukul 10 pagi 16 Ogos dan Triathlon Sprint pada pukul 9 pagi hari yang berikutnya.

Kejohanan itu akan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan Malaysia Datuk Seri Azalina Othman Said.

Share This Post
    rss RSS 2.0    commentgreen Response

Leave a Reply