Azalina hampir pasti menang tanpa bertanding

Azalina

KOTA TINGGI, 5 Ogos - Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman (gambar) Said hampir pasti memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Pengerang tanpa bertanding berikutan penyandangnya, Datuk Harun Abdullah hanya memperoleh tiga pencalonan setakat ini.

Setiausaha UMNO Bahagian Pengerang, Nizam Ali berkata, kemenangan itu diperoleh setelah mesyuarat agung cawangan yang memasuki minggu ketiga memberikan Azalina 25 pencalonan daripada 33 cawangan UMNO dalam bahagian itu.

“Pencalonan terbaru yang diperoleh Azalina hari ini ialah menerusi UMNO Cawangan Sungai Kapal yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat dan UMNO Cawangan Felda Air Tawar Satu yang terletak di DUN Penawar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

UMNO Bahagian Pengerang mempunyai 33 cawangan dalam DUN Tanjung Surat dan DUN Penawar.

Menurut Nizam, Azalina yang juga Menteri Pelancongan hanya memerlukan satu pencalonan lagi untuk melayakkan dirinya memenangi jawatan itu tanpa bertanding.

Katanya, Harun pula hampir gagal mendapatkan kuota tujuh pencalonan bagi melayakkannya mempertahankan jawatan Ketua UMNO bahagian itu.

Nizam berkata, kemenangan tersebut juga mencatatkan sejarah apabila Azalina hampir pasti menang tanpa bertanding menewaskan Harun, Ketua UMNO bahagian yang menyandang jawatan itu sejak 2004.

“Kemenangan Azalina itu juga memberi mesej dan petunjuk jelas bahawa beliau diterima baik oleh masyarakat Pengerang baik selaku wakil rakyat mahupun sebagai pemimpin UMNO.

“Hakikat itu dapat dibuktikan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-11 dan PRU-12 pada Mac lalu apabila beliau menang tanpa bertanding kerusi Parlimen Pengerang,” katanya.

Beliau berkata, terdapat dua cawangan UMNO yang belum mengadakan mesyuarat iaitu Felda Sening dan Felda Keledang.

“UMNO Cawangan Bandar Penawar, Felda Air Tawar Empat dan Felda Air Tawar Lima pula terpaksa menangguhkan mesyuarat cawangan berikutan tidak cukup kuorum,” katanya.

Share This Post
    rss RSS 2.0    commentgreen Response

2 Responses to “Azalina hampir pasti menang tanpa bertanding”

  1. comment  Puteri aliyea Says:

    Pada pendapat saya,Dato’Azalina memang berhak mendapat kemenangan tersebut walaupun tanpa bertanding,kerana beliau banyak memberikan bantuan kepada golongan masyarakat.Pada pendapat saya juga,beliau sememangnya layak mendapat kemenangan itu kerana,beliau seorang yang peramah dan mesra rakyat.

  2. comment  Shahrul AlFitri Says:

    Nak beritahu ni… Kami faham, ramai rakyat di sepanjang Hiway KT-Sg. Rengit. Sungai Kapal dan mencalonkan, maka khidmat bergerak tu kena perpanjangkan juga sampai ke Pengerang (hujung tanjung). Kepada Tok Kadir, maaflah dah lama tak balik kampung. Aku kerja di Timur Tengah, Qatar.

Leave a Reply