Pesta Flora 2008 berlangsung meriah

JOHOR BAHRU 26 Julai – Pesta Flora Malaysia 2008 yang dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Dataran Bandaraya, di sini hari ini, berlangsung meriah dengan diserikan perarakan 17 kereta berhias yang mewakili negeri-negeri di negara ini.

Perarakan yang bermula pukul 9.30 pagi dari Dataran Bandaraya melalui Jalan Straits View menuju ke Teluk Danga itu berlangsung dengan penuh warna-warni dan gilang-gemilang serta berjaya memukau lebih 20,000 pengunjung termasuk pelancong asing.

Turut berangkat ke majlis berkenaan ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah yang tertarik dengan persembahan perarakan kereta berhias dan persembahan tarian serta kumpulan pancaragam daripada pelajar sekolah.

Majlis berkenaan turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri, Datin Prof. Dr. Jamilah Ariffin; Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan barisan pemimpin kerajaan Johor.

Penonton perarakan yang menghadap pemandangan Selat Tebrau memberikan tepukan gemuruh dan sorakan selepas terpesona dengan persembahan yang bermula dengan kereta berhias Terengganu dan diakhiri kereta berhias Johor.

Selain itu, kereta berhias dari Shuzou dan Macau, China turut menyertai perarakan yang bertemakan ‘Warna-Warna Harmoni’ itu sambil diselangselikan dengan persembahan pancaragam sekolah.

Kereta berhias tuan rumah menampilkan konsep ‘Desaru’ iaitu sebuah pusat pelancongan terkenal di Johor. Pemenang perarakan dipilih oleh juri tempatan dan antarabangsa berdasarkan tema dan kreativiti.

Perarakan kereta berhias itu merupakan salah satu daripada acara sempena Pesta Flora yang berlangsung di sini bermula Rabu lalu sehingga Isnin ini dengan menyasarkan 100,000 pengunjung.

Selain perarakan kereta berhias, pesta kali kedua selepas dianjurkan di Putrajaya tahun lalu itu, turut menyediakan 36 bazar dan pameran bunga-bungaan kepada pengunjung di Teluk Danga.

Kereta berhias Terengganu diumumkan sebagai Pemenang Anugerah Perdana dan Wilayah Persekutuan Labuan memenangi kategori Anugerah Khas Juri diikuti Trofi Istimewa (Pahang); Trofi Kreatif (Putrajaya); Trofi Tema (Kuala Lumpur) dan Trofi Antarabangsa (Macau dan Suzhou, China).

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Datuk Ong Hong Beng berkata, perarakan itu berjaya mencapai matlamat bagi mempromosikan destinasi menarik negara kepada pelancong menerusi gubahan unik pada kereta-kereta berhias yang mewakili setiap negeri.

‘‘Setiap kereta berhias mempamerkan identiti negeri dan tarikan pelancongan masing-masing dengan menarik dan kehadiran pengunjung juga amat menggalakkan,’’ katanya pada sidang akhbar selepas perarakan tersebut.

Hong Beng berkata, penganjuran yang bertindih tarikh dengan program Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2008 di negeri ini didapati tidak menjejaskan kehadiran pengunjung kerana ia membabitkan golongan sasaran yang berbeza.

Katanya, kementerian amat berpuas hati dengan penganjuran perarakan itu walaupun sedikit terkilan apabila Sabah dan Pulau Pinang tidak dapat menyertainya kerana masalah tertentu, manakala kereta berhias Selangor yang telah siap pula tidak dapat menyertainya akibat masalah teknikal pada saat-saat akhir.

Sementara itu, Presiden Majlis Bunga Dunia, Dean White yang juga salah seorang juri perarakan itu berkata, hiasan dan gubahan kereta berhias pada perarakan itu menunjukkan kualiti yang tinggi, malah sesetengahnya mencapai standard antarabangsa.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Terengganu, Datuk Za‘abar Mohd. Adib pula berkata, tema kereta berhias negeri itu ialah keindahan alam serta kehidupan marin termasuk replika ikan ‘nemo’ dan penyu.

‘‘Pasukan kami memang bersungguh-sungguh mahu menang kerana ia penting bagi mempromosikan Tahun Melawat Terengganu yang bertemakan Alam Semulajadi Yang Memayungi Warisan pada tahun ini,’’ katanya.

Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Labuan, Siti Maznah Awang Damit pula berkata, pihaknya tidak menyangka memenangi Anugerah Khas Juri kerana kereta berhias itu dibuat menggunakan bajet yang paling murah berbanding negeri lain iaitu kira-kira RM130,000.

‘‘Kekuatan kereta berhias Labuan terletak pada temanya yang memberi fokus kepada keindahan hidupan marin, aktiviti memancing, replika ikan layaran dan maling yang menjadi kekuatan dalam segmen produk pelancongan Labuan,’’ katanya.

Untuk galeri gambar - Sila Klik

Share This Post

    rss RSS 2.0    commentgreen Response

Leave a Reply