Majlis Perasmian Simbolik Cabaran Eco Paintball

Felda Tunggal, 25 Jan – Majlis Simbolik Cabaran Eco Paintball telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Pengerang yang juga Menteri Belia Dan Sukan Malaysia, YB. Dato’ Sri Azalina Dato’ Othman Said di Kompleks Komuniti Felda Tunggal kira-kira jam 4.30 petang.

Dalam ucapannya, beliau memberitahu paintball adalah sukan yang memerlukan stamina yang kuat dan ia tidak mudah seperti yang disangkakan.

Sememangnya sukan ini amat baik khususnya untuk belia mengambil bahagian kerana ia akan mewujudkan kerjasama kumpulan dan memerlukan kebijaksanaan mereka dalam menyusun strategi menumpaskan pihak lawan.Beliau juga melahirkan rasa bangga kerana banyak program sukan telah dilaksanakan mendapat sambutan masyarakat setempat dan belia khususnya selain daripada terbinanya Kompleks Sukan Komuniti di Felda Tunggal dan Felda Semenchu.

Dengan adanya kepelbagaian program sukan dan tempat bersukan yang disediakan tidak ada alasan bahawa masyarakat tidak boleh mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Mengimbas kembali kejayaan Malaysia dalam temasya sukan SEA Korat dan Sukan Para Asean ke-4, beliau mahukan budaya sukan terus dipraktikkan dalam kehidupan masyarakat setempat agar kejayaan negara dalam bidang sukan dapat dikekalkan.

Hadir bersama-sama mengiringi Azalina pada majlis itu adalah Ketua UMNO Cawangan Felda Tunggal, Ashari Sapar dan Pengurus Felda Tunggal, Abdullah Ali.

Selepas majlis, Azalina mengunjungi SJK Yok Poon, Sungai Rengit bagi menyampaikan sumbangan dan duit raya kepada murid-murid bersempena dengan perayaan Tahun Baru Cina.

Share This Post
    rss RSS 2.0    commentgreen Response

Leave a Reply