MAJLIS RAMAH MESRA WARGA PENDIDIKAN PARLIMEN PENGERANG
BANDAR PENAWAR, 16 Jun - Perjumpaan antara wakil rakyat dan warga pendidik setempat amat penting bagi memantapkan lagi kecemerlangan anak bangsa di kawasan. Itulah yang diharapkan oleh YB Dato’ Seri Azalina Dato’ Othman Said, Ahli Parlimen Pengerang, apabila satu perjumpaan khas dianjurkan untuk beliau berjumpa bersama pendidik sekitar Parlimen Pengerang pada 16 Jun 2007 bertempat di SMKA Bandar Penawar.
Majlis yang turut dihadiri oleh Tn. Hj. Marsono Legino, Pegawai Pelajaran Daerah Kota Tinggi dan Tn. hj. Ahmad Murad Mahidun, Pegawai Pendidikan Agama Daerah Kota Tinggi berserta 300 orang pendidik termasuk Pengerusi PIBG sekolah-sekolah itu telah memberi satu semangat baru kepada tenaga pengajar dan pemimpin sekolah untuk meningkatkan lagi mutu kecemerlangan sekolah masing-masing. YB Dato’ Seri Azalina berkata bahawa masalah utama pelajar/belia sekarang terutama di kawasan Felda adalah masalah untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat.
Oleh itu beliau berharap agar para pendidik dan pemimpin sekolah dapat menggalakkan pelajar/belia untuk berfikir menggunakan otak sebelah kiri bukannya sebelah kanan. Ini adalah kerana berfikir menggunakan otak sebelah kanan adalah pemikiran mengikut emosi manakala berfikir menggunakan otak kiri adalah pemikiran secara rasional.
Azalina juga mengingatkan para pendidik dan pemimpin sekolah agar berani untuk membuat pendekatan baru dimana semua guru dan PIBG perlu bersatu padu membina pelajar di sekitar Parlimen Pengerang menjadi golongan yang berkualiti.
Beliau berkata, pendekatan baru yang dimaksudkannya adalah pendekatan yang berbeza mengikut peredaran semasa contohnya sukan malam yang diadakan oleh Kementerian Belia dan Sukan. Sukan Malam diadakan adalah bagi menggagalkan belia-belia dari terus melepak di tempat-tempat yang tidak sepatutnya.
YB Dato’ Seri Azalina turut menyampaikan bantuan peningkatan ko-kurikulum sekolah kepada semua sekolah sekitar Parlimen Pengerang.





































