Majlis Berbuka Puasa Sukarelawan Parlimen Pengerang

Felda Air Tawar 5, 08 Oktober 2007 – Majlis berbuka puasa bersama sukarelawan anjuran Pejabat Parlimen Pengerang telah diadakan di perkarangan Pusat Kegiatan Rakan Muda, Felda Air Tawar 5 pada jam 6.30 petang.

Sesi berbuka puasa dimulakan dengan juadah ringan seperti kurma, bubur lambuk dan kuih muih diikuti dengan solat maghrib berjemaah.

Setelah itu, para hadirin disajikan dengan nasi beriani istimewa berlaukkan kambing masak kurma, ayam masak merah dan acar.

Turut sama pada majlis ini adalah Pegawai Khas Ahli Parlimen Pengerang, Tn. Syed Ben Bella AlHabshee dan Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Tinggi, En. Shamsuddzukha Bin Hj. Hashim.

Syed dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan di atas kehadiran mereka.

Terima kasih juga beliau ucapkan kepada mereka di atas bantuan dan sokongan yang dihulurkan selama ini secara sukarela tanpa berbelah bagi.

Beliau mengimbas semula peristiwa banjir yang berlaku di Kota Tinggi yang mana pada masa itu sukarelawan sanggup turun padang mengedarkan bekalan makanan dan bergotong-royong membantu mangsa-mangsa banjir membersihkan kawasan yang terjejas.

Beliau berasa gembira kerana selama 4 tahun bermula tahun 2004 pasukan sukarelawan ditubuhkan, jumlah keahlian tidak berkurang sebaliknya bertambah sehingga mencapai 70 orang pada masa sekarang.

Penyertaan sukarelawan yang lebih ramai selepas ini amat diharapkan oleh beliau bagi menggerakkan segala macam aktiviti dan program yang bakal dijalankan.

Ia juga sebagai tanda sokongan berterusan kepada Ahli Parlimen Pengerang yang juga Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB. Dato’ Seri Azalina Dato’ Othman Said.

Syed memaklumkan sebanyak 2 buah rumah sedang dibaikpulih di Kampung Pengerang diikuti 4 buah rumah di Kampung Tanjung Serindit yang dibiayai sepenuhnya melalui Pejabat Parlimen Pengerang.

Beberapa aktiviti akan dirancang selepas raya dan salah satunya adalah Hari Keluarga Sukarelawan Pengerang yang kemungkinan akan dibuat pada bulan Disember ini di Bentong, Pahang selama 3 hari 2 malam.

Beliau juga tidak lupa mengucapkan tahniah kepada sukarelawan kerana mendapat naib johan perbarisan untuk penyertaan yang pertama kalinya di Majlis Perbarisan Kemerdekaan Ke-50 di Bandar Penawar pada 8 September yang lalu.

Beliau turut memaklumkan rumah terbuka YB. Dato’ Seri Azalina yang akan diadakan pada 3 November ini di Dewan Orang Ramai, Bandar Penawar.

Semua sukarelawan dijemput dan dialu-alukan untuk datang beramai-ramai ke majlis tersebut bagi meraikan dan memeriahkannya.

Selain itu, para sukarelawan juga dijemput menghadiri program penyerahan sumbangan berupa hamper dan duit raya kepada fakir miskin oleh Tan Sri Syed Yusof Tun Syed Nasir (Jojo) di Punggai pada 21 Oktober ini.

Bersempena hari raya yang bakal menjelma, beliau mengambil kesempatan memohon kemaafan jika terdapat sebarang kesalahan dan kesilapan.

Beliau mengalu-alukan kedatangan sukarelawan ke Pejabat Parlimen Pengerang sekiranya terdapat permasalahan dan cadangan yang hendak diutarakan.

Majlis berbuka puasa diakhiri dengan penyampaian cenderahati hari raya berupa kain pasang, kain pelikat, kain batik dan dodol oleh Syed kepada sukarelawan yang hadir.

Share This Post
    rss RSS 2.0    commentgreen Response

Leave a Reply